Keluarga Altantuya merayu naikkan ganti rugi RM5 juta

2023-04-19 7,889

BERITA SEMASA 19 APRIL 2023

Keluarga model Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu merayu untuk dapat ganti rugi lebih tinggi daripada RM5 juta yang dianugerahkan kepada mereka oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam dalam saman mereka failkan berhubung kematiannya pada 2006.

Dalam notis rayuan difailkan pada 16 Januari tahun ini, keluarga Altantuya membuat rayuan balas terhadap sebahagian daripada keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kuantum ganti rugi.

Pada 16 Disember tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Vazeer Alam Mydin Meera (kini hakim Mahkamah Rayuan) benarkan saman oleh keluarga Altantuya dan perintahkan bekas anggota polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, penganalisis politik Abdul Razak Baginda dan kerajaan untuk bersama-sama membayar RM5 juta sebagai ganti rugi am, teruk dan teladan.