Projek Taman Rimbunan Kaseh Melaka gagal

2022-09-23 25

SKUAD SINAR SIASAT 25 SEPTEMBER 2022

Projek Taman Rimbunan Kaseh dibangunkan untuk membantu asnaf menjadi petani moden, malangnya dua kontraktor diberi tanggungjawab gagal mengusahakannya seperti dijanjikan malah pekerja juga tidak dibayar gaji selama tiga bulan selain diberikan cuti tanpa gaji, lapor wartawan Sinar Harian, Nor Farhana Yaacob.

Taman Rimbunan Kaseh adalah sebuah projek yang tidak kesampaian matlamatnya dan kemungkinan wujud unsur ketirisan di dalam pengurusannya sejak ia dimulakan kerajaan terdahulu pada 1 Mei 2013.

Berkeluasan 14.164 hektar, projek di Serkam Darat Melaka itu menjadi sebahagian program transformasi ke arah memberi keselesaan kehidupan rakyat dalam suasana perkampungan abad ke-21 serta dilengkapi kemudahan infrastruktur dan sumber perekonomian baharu serba moden.

Terdapat dua bahagian pembangunan bagi projek Rimbunan Kaseh Serkam iaitu kawasan perumahan seluas 8.094 hektar dan 6.07 hektar untuk pertanian serta ternakan.

Projek tersebut dibiayai Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri sebanyak RM24 juta bagi membangunkan infrastruktur dan prasarana yang menjadi sebahagian daripada Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) oleh kerajaan terdahulu untuk membasmi kemiskinan di Melaka.

Sebanyak RM3 juta pula dibiayai kerajaan Melaka menerusi Majlis Agama Islam Melaka (Maim) yang bertanggungjawab menyediakan tapak tanah.

Pada peringkat awal projek ini disertai seramai 97 peserta terdiri daripada penerima asnaf zakat Maim yang melaksanakan pertanian moden bagi menambah pendapatan.

#sinarharian
#skuadsinarsiasat