Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin hari ini mempertahankan operasi menangkap warga asing tanpa dokumen yang dilakukan pihak berkuasa di sepanjang tempoh PKP penuh.
Dalam sidang media di Beranang, Hamzah berkata operasi itu dijalankan bagi membantu mengesahkan status warga asing tersebut serta membantu mereka memiliki dokumen yang sah untuk tujuan suntikan vaksin Covid-19.
Katanya lagi, operasi itu juga dijalankan bagi melindungi kepentingan rakyat Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas jaminan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Khairy Jamaluddin sebelum ini bahawa warga asing tanpa dokumen akan turut menerima vaksin Covid-19 secara percuma.