Ekoran pegawai MOTAC positif Covid-19, MP pembangkang minta Nancy tidak hadir Dewan

2020-11-26 1,449

Ahli parlimen pembangkang meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri untuk tidak hadir ke Dewan Rakyat hari ini memandang terdapat pegawai Tourism Malaysia (MOTAC) yang didapati positif Covid-19 semalam.

Nancy (GPS-Batang Sadong) dijangka menggulung perbahasan bagi kementeriannya hari ini.

Perkara itu mula dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Balik Pulau Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang meminta Nancy untuk membuat kuarantin kendiri selama 14 hari.

Terdahulu dalam satu kenyataan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya hari ini mengesahkan seorang pegawai Tourism Malaysia, sebuah agensi di bawahnya, yang bertugas di ibu pejabat kementerian Putrajaya didapati positif Covid-19.

Namun, ujian calitan yang dijalani Nancy pada petang semalam mengesahkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri negatif Covid-19 memandangkan beliau bukan kontak rapat serta tiada kontak secara langsung dengan pegawai terbabit.