Selepas memberi kecaman keras kepada Dr Adham Baba, penyanyi rap Caprice semalam mengadakan pertemuan dengan menteri kesihatan itu untuk meminta maaf.
Terdahulu, Caprice membidas kenyataan Adham selepas menteri itu membuat kenyataan berhubung jumlah negara yang terbabit dalam telesidang video Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Bercakap kepada Malaysiakini, Caprice tampil memberi penjelasan selepas ada pihak yang mempertikaikan keperluan dia untuk berjumpa Adham semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) masih berkuat kuasa.
Dakwa Caprice, pertemuan diadakan bersama Adham diadakan mengikut prosedur penjarakan sosial, hadir seorang diri, selain masing-masing memakai penutup hidung dan mulut.
Kenyataan tersebut dibuat selepas anak perempuan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Nurul Hidayah yang didakwa melanggar PKP sebelum ini secara sinis mempersoalkan mengapa tindakan Caprice bertemu menteri tidak dipertikaikan orang ramai.