Pihak berkuasa tempatan (PBT) bertanggungjawab meneliti dan memantau perniagaan makanan termasuk peniaga yang beroperasi dari rumah bagi menjaga kualitinya, kata Amirudin Shari.
Menteri Besar berkata usaha itu bukan bertujuan mengekang peniaga di bulan Ramadan sebaliknya untuk memastikan standard makanan dijual memenuhi kriteria kesihatan bagi mengelakkan keracunan makanan.
“Kita suka atau tidak sebenarnya di komuniti kita sama ada di Facebook, WhatsApp atau jaringan sosial yang lain, mereka sudah mula menjual secara sendirian atau ditubuhkan oleh komuniti tersebut,” katanya ketika Sesi Interaksi Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar Selangor, Negeri Sembilan dan Ketua Menteri Pulau Pinang menerusi Facebook hari ini.