Pesakit COVID-19 yang mendapat rawatan menggunakan empat ubat menerusi ‘ujian solidariti’ akan dipantau, bagi mengesan sebarang kemungkinan kesan sampingan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, mengakui ubat anti malaria, hydroxychloroquine mempunyai beberapa kesan sampingan seperti sakit kepala, kabur penglihatan, otot menjadi lemah dan cirit-birit.
Sehubungan itu, katanya, sebarang penggunaan ubat ‘off label’ atau tanpa kelulusan perlu dipantau bagi menangani kesan sampingan yang berupaya mengundang risiko kesihatan pesakit.
“Contohnya, di wad, akan pantau perkembangan pesakit ini apabila mereka diberikan rawatan menggunakan ubat-ubat ini,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.