Pesakit Covid-19 muda yang meninggal dunia lambat ke hospital - KP Kesihatan

2020-04-02 4

Pesakit Covid-19 berusia muda yang meninggal dunia kebanyakannya tidak ke hospital untuk mendapatkan rawatan ketika jangkitan masih di tahap awal, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata demikian ketika menjelaskan trend kematian akibat wabak itu, yang telah mengorbankan 50 nyawa di Malaysia setakat ini.

"Kita juga ada kes kematian melibatkan pesakit muda, seperti pesakit berusia 34 tahun dan yang paling muda 27 tahun. Tetapi (ini kerana) mereka datang (mendapatkan rawatan) di peringkat yang sangat lewat.

"Mereka datang ketika sudah pun di tahap tiga atau empat (jangkitan Covid-19), di mana mereka sudah pun mengalami pneumonia dan perlukan bantuan untuk bernafas.

"Dan di kalangan mereka (yang datang lewat), ada yang kita sudah tak dapat selamatkan," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.