Imigresen: Rakyat Malaysia dilarang ke Singapura mulai esok

2020-03-17 1,670

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud mengesahkan bahawa rakyat Malaysia yang berulang-alik ke Singapura untuk bekerja tidak akan dibenarkan berbuat demikian mulai esok hingga 31 Mac.

Beliau mengesahkan perkara itu dalam mesej WhatsApp ringkas kepada Malaysiakini.

Ini berikutan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengenai perintah kawalan pergerakan rakyat Malaysia yang dilarang melakukan perjalanan ke luar negara.

Penjelasan itu menamatkan soalan yang dibangkitkan oleh rakyat Malaysia yang berpusat di Johor dan melakukan perjalanan setiap hari ke Singapura untuk bekerja.

Dalam pengumuman semalam, Muhyiddin menyenaraikan beberapa langkah untuk menghadkan pergerakan awam seperti pengharaman semua perhimpunan massa termasuk untuk agama dan sukan dan penutupan premis perniagaan tidak termasuk pasaraya dan kedai runcit.