Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur menyatakan kekecewaan terhadap kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang menasihatkan Presiden Donald Trump untuk meletakkan jawatan.
Mahathir memberi nasihat itu apabila diminta pemberita mengulas pelan damai Israel-Palestin yang disokong Trump, namun sebahagian besarnya tidak dipersetujui Palestin dan sekutunya.
Trump ketika ini sedang berusaha untuk dipilih semula pada pilihan raya presiden November ini.
Dalam kenyataan di Twitter, kedutaan AS di Kuala Lumpur berkat, kenyataan Mahathir itu tidak selari dengan dialog konstruktif yang menjadi asas hubungan Malaysia dan AS.
Kenyataan itu turut menyorot bahawa hubungan dua hala AS-Malaysia telah memberikan hasil penting di rantau ini dan pada skala global.
Mahathir juga menyifatkan Trump mencemarkan peranannya sebagai presiden Amerika Syarikat apabila "cuba menggunakan tekanan asing untuk memenangi pilihan raya".
Mahathir berkata demikian selepas menyampaikan ucapannya pada persidangan ketiga Liga Parlimen Untuk Al-Quds di Kuala Lumpur.