Kita tahu dia siapa, selalu memihak kerajaan! - Mohamad Hasan

2020-01-17 2,515

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan tidak bersetuju dengan kaji selidik Ilham Centre yang meramalkan calon Warisan, Karim Bujang bakal memenangi pilihan raya kecil (PRK) Kimanis.

Bercakap kepada media selepas ceramah di Pimping, timbalan pengerusi BN itu berkata beliau yakin calon BN, Mohamad Alamin boleh memenangi pilihan raya kecil itu.

"Saya yakin Barisan (Nasional) akan menang. Dia kata Warisan menang, itu hak dialah. Kita tahu Ilham Centre ni siapa kan, jadi itu mereka selalu menjadi NGO yang selalu selalu memihak kepada PH," kata Mohamad yang juga Adun Rantau.

"Dalam proses demokrasi kita perlu berusaha sampai saat akhir untuk menyakinkan pengundi, untuk buka minda pengundi untuk mereka memilih parti mana yang mereka rasakan boleh menjadi wakil mereka di parlimen, insya Allah,"

Menurut kaji selidik dikeluarkan Ilham Centre semalam, Warisan dijangka memenangi pilihan raya kecil itu.

Antara lain, kajian itu mendapati isu mengenai Pas Sementara Sabah (PSS) tidak memberikan kesan besar kepada Warisan.

Kira-kira 38 peratus responden menyokong, 30 peratus tidak pasti dan 32 peratus berkata mereka tidak menyokong dan sangat menentang pelaksanaan PSS.

Ilham Centre berkata, orang Melayu, Muslim Bumiputera dan pengundi yang tinggal di kawasan-kawasan luar bandar lebih suka mengundi parti pemerintah supaya kebajikan, kemajuan dan pembangunan dapat dibawa ke kawasan mereka dan bukannya memilih parti bukan kerajaan.

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan keputusan pilihan raya Kimanis.

Calon Umno Anifah Aman memenangi kerusi itu dengan majoriti 156 undi pada pilihan raya umum lalu.

Kredit Video: Kow Gah Chie | Malaysiakini