Hati saya tenang jika pembunuh anak saya dihukum mati

2020-01-15 12

Ibu kepada mangsa rogol dan bunuh yang dilakukan Rambo Bentong, merayu kerajaan mengekalkan hukuman mati mandatori terhadap pembunuh tersebut.

Tan Siew Lin berkata, keadilan terhadap mangsa perlu ditegakkan.

"Mesti gantung (pembunuh), barulah saya tenang," katanya sebak.

Menurutnya, dia bekerja keras untuk membesarkan anak-anaknya termasuk mangsa, Annie Kok Yin Cheng, 17.

"Apabila benda ini terjadi, bagaimana nasib kami?" katanya.

Siew Lin ditemui pemberita ketika sidang media bersama wakil dan keluarga mangsa pembunuhan yang menuntut supaya pihak kerajaan tidak memansuhkan hukuman mati mandatori di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri Presint 3 hari ini.

Siew Lin berkata, meskipun anaknya dirogol dan dibunuh 11 tahun lalu, dia tidak pernah lena.

"Kadangkala saya menangis di dalam bilik air.

"Saya sangat sedih apabila tiba tarikh 6 Julai kerana ia merupakan hari lahir Annie," katanya.

Pada 6 Ogos 2014, Mahkamah Tinggi Temerloh menjatuhkan hukuman mati mandatori terhadap Rambo Bentong atau nama sebenarnya Rabidin Satir selepas didapati bersalah membunuh remaja berusia 17 tahun, Annie Kok Yin Cheng pada 2009.

Selain itu pada 3 Disember 2015, Mahkamah Tinggi Kuantan menjatuhkan hukuman mati terhadapnya kerana membunuh kakitangan Jabatan Perhutanan Bentong pada 2013.