Pihak polis masih menunggu laporan sampel air kencing dari patalogi sebelum melakukan sebarang tindakan lanjut.
Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Mohd Khalil Kader Mohd, berkata beliau tidak dapat memberikan sebarang tempoh untuk keputusan tersebut.
Sekarang kita tunggu laporan patalogi. Kita bukan pakar. Itu bukan bidang kita.
"Dalam semua kes membabitkan dadah, kita akan buat saringan awal dan jika positif, kita tidak boleh cakap dia penagih (dadah).
"Jadi, kita kena hantar spesimen ke hospital dan pihak itu akan tentukan keputusan hasil dari ujian dilalukan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai serbuan polis di sebuah kondominium di Jalan Puchong, baru-baru ini yang melibatkan Ketua Pemuda Bersatu Selangor merangkap Adun Dengkil, Adhif Syan Abdullah yang ditangkap dan kemudiannya dibebaskan.
Turut ditangkap bersama ialah 16 lagi individu, termasuk enam perempuan dan beberapa pegawai tinggi kerajaan.
Pada masa sama, Mohd Khalil enggan mengulas lanjut mengenai penafian Adif bahawa dirinya ditangkap dan disahkan positif dadah. Adif sebaliknya mendakwa berada di rumahnya di Pulau Meranti, Puchong sejak malam sebelumnya.
"Tangkapan, betul ke dia tak berada di sana, apa-apa yang keluar di FB kita tak tahu apa-apa, sesiapa boleh buat komen mereka sendiri tapi tak ada kena-mengena dengan polis," katanya.
Semalam, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, mengesahkan pihak berkuasa menahan 17 individu - termasuk enam wanita - dalam sebuan ke atas sebuah kondominium di Jalan Puchong.