Orang tuduh saya rasuah, tapi pernah saya beli berlian untuk isteri?

2020-01-14 1

Dr Mahathir Mohamad mempertahankan Pakatan Harapan sebagai pentadbiran yang komited membasmi rasuah dan berikrar akan bertindak tegas tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam amalan sedemikian, tanpa mengira status mereka.

Bercakap pada sesi bual bicara sempena Forum Integriti Bank Rakyat 2020 yang dikendalikan Pengerusi Bank Rakyat, Noripah Kamso, pagi ini, katanya, negara yang terpalit rasuah akan bergelut untuk maju kerana kos yang melambung.

"Sudah tentu, ramai juga yang kata 'semasa kamu jadi PM kamu juga korup'. Itu tuduhan yang dilemparkan kepada saya, tetapi apakah bukti itu?

"Pernah saya beli berlian atau ambil RM37 juta dan berikan kepada isteri saya? Saya tidak (pernah berbuat demikian).

"Malah, kami hidup secara biasa, rumah saya bukanlah besar sangat tetapi (saya) masih dituduh amalkan rasuah.

“Tetapi kita perlu terima, tuduhan akan dibuat (tetapi) yang penting ialah jangan korup dengan kuasa yang kamu miliki," katanya.

Mahathir menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003 sebelum memegang peranan itu buat penggal kedua pada 2018.

Mengulas lanjut, beliau mengatakan tidak ada rasuah pada "peringkat tinggi" dalam pentadbiran Pakatan Harapan.

Justeru, katanya memerangi rasuah kekal menjadi keutamaan.

"Mengenai perkara lain, tentu saja (kita) mungkin kurang berpengalaman (dan) memerlukan lebih sedikit masa, tetapi pembasmian rasuah diberi keutamaan oleh kerajaan ...

"Tidak ada sesiapa yang mengatasi undang-undang, jika ada bukti bahawa perdana menteri korup, tindakan harus diambil.

"Rakyat mesti bebas untuk berbincang atau bercakap (dan) menuduh (jika) terdapat bukti. Tetapi sudah tentu, kadang-kadang ada juga mengambil kesempatan kebebasan akhbar untuk membuat maklumat palsu," katanya.