Saya akui gagal tangkap Jho Low - IGP

2020-01-14 1,102

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengakui kegagalannya untuk menangkap Jho Low, tetapi pada masa sama membangkitkan percubaan pihak tertentu untuk menghalang ahli perniagaan kontroversi itu daripada dibawa pulang.

Dalam sidang media di Bukit Aman hari ini, Hamid berkata beliau tidak akan berputus asa dalam memburu individu yang didakwa dalang dalam skandal 1MDB itu.

"Saya akui saya gagal, bukan gagal sebab saya nak tunjuk saya superhero, tetapi saya janji dulu nak berusaha (menangkap Jho Low).

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata polis telah menemui beberapa aset baru bernilai jutaan ringgit milik Jho Low dan dalam proses untuk menyitanya.

"Ia premis kediaman di dalam negara. Saya tak daoat nak dedahkan, tetapi (nilainya) berjuta. Ini wang kita, kita mahu setiap sen daripadanya," katanya lagi.

"Malangnya saya berdepan rintangan yang didirikan oleh pihak tertentu agar dia tidak dapat dibawa kembali ke sini untuk didakwa di mahkamah.

"Saya tak putus asa (dan) akan terus berusaha sebab seperti yang saya sebut pada 2015, ini satu rompakan yang merugikan negara. Masih ada berbilion dolar AS dalam kawalannya.

"Jangkauan undang-undang ini panjang. Dia rasa boleh menyorok dan kononnya ditawarkan kewarganegaraan. Saya nak sebut pada dia: silakan," katanya.

Hamid tidak menyebut secara khusus pihak yang dimaksudkannya menghalang penangkapan Jho Low, namun pada bulan lalu beliau menyuarakan kekecewaannya terhadap pihak berkuasa beberapa negara yang tidak memberi kerjasama kepada Malaysia berkenaan soal itu.