Selepas beberapa hari projek perintis perkhidmatan bike–hailing yang juga dikenali teksi motosikal dilaksanakan di sekitar Lembah Klang bermula awal bulan ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook membuat pemeriksaan mengejut dengan memesan khidmat perkhidmatan pengangkutan berasaskan aplikasi itu.
Loke yang membuat pesanan itu secara peribadi memulakan perjalanannya daripada Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ke stesen LRT Pasar Seni, sebaik sahaja selesai sarapan pagi di sekitar kawasan terbabit.
Dengan jarak dua kilometer itu, Loke mengambil masa selama selama 10 minit untuk sampai ke stesen LRT Pasar Seni, selepas 15 minit membuat tempahan menerusi aplikasi atas talian itu.
Loke yang berkemeja Ungu dan berseluar Hitam turut dibekalkan topi keledar oleh Dego Ride.
Sebaik tiba di lokasi yang diminta Loke, media dapat melihat riak wajah penunggang Dego Ride itu, yang agak terkejut kerana dikerumuni oleh jurugambar yang telah bersedia menunggu menteri pengangkutan itu.
Ini kerana difahamkan Loke langsung tidak memaklumkan kepada syarikat pengendali teksi motorsikal itu untuk perjalanannya hari ini.