Sekurang-kurangnya 21 mangsa dilaporkan terkorban dalam banjir yang melanda ibu kota Indonesia sejak tiga hari lalu.
Jumlah itu meningkat daripada angka awal sebanyak sembilan mangsa sejak semalam dan 16 mangsa awal pagi ini, kata jurucakap Kementerian Hal Ehwal Sosial, Joko Hariyanto.
Sementara itu, dalam perkembangan awal pagi tadi, Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) berkata setakat jam 8 pagi ini, lebih 30,000 mangsa banjir dilaporkan masih ditempatkan di pusat-pusat pemindahan sementara berikutan kawasan penempatan mereka dinaiki air sehingga dua meter.
Selain beberapa kawasan di ibu negara Jakarta, kawasan di bandar berhampiran Jakarta seperti Tangerang, Depok, Bekasi dan Bogor, turut mengalami banjir semalam berikutan hujan lebat pada awal pagi tahun 2020.
Mereka yang meninggal itu antaranya mengalami hipotemia, lemas dihanyutkan arus, tertimbus akibat tanah runtuh dan terkena renjatan elektrik.