DAP tiada kaitan dengan komunis - Bekas pemimpin Parti Komunis Malaya

2019-12-30 16

Bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) menyifatkan persepsi sesetengah rakyat Malaysia yang menyamakan parti itu sama dengan DAP adalah perkara lucu.

Bekas pengerusi PKM Abdullah CD, melalui jurucakapnya Indrajaya Abdullah, berkata pemimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) - yang menginspirasikan penubuhan DAP - terkenal sangat antikomunis.

"Jadi, untuk menjatuhkan DAP mereka, (penuduh) samakan parti itu dengan komunis - satu tuduhan yang sangat melucukan.

"Sebenarnya, DAP kalau kita kata (mengenai) sejarah, kita kata (pemimpin) PAP iaitu (pengasas PAP dan perdana menteri pertama Singapura) Lee Kuan Yew sangat antikomunis.

“Yang Kuan Yew katakan itu adalah sosialis, bukan komunis. Sosialis bukan komunis.

"Ertinya antikomunis, memang gerakan PKM di Singapura dihancurkan oleh Lee Kuan Yew, walaupun dia waktu itu jadi perdana menteri kerana sokongan-sokongan golongan kiri termasuk PKM, yang mengerakkan rakyat untuk menyokong PAP waktu itu," jelasnya dalam wawancara di rumah Abdullah CD.