Tommy Thomas kawan baik Chin Peng - Hanif Omar

2019-12-24 2,621

Bekas ketua polis negara (IGP) Hanif Omar mempersoalkan sama ada Peguam Negara (AG) Tommy Thomas akan mendakwa pihak yang melanggar Perjanjian Damai Hat Yai 1989.

Dalam ucapan lantang di program Perhimpunan Pejuang Negara di Padang Merbok, Kuala Lumpur hari ini, Hanif membangkitkan persoalan itu kerana mendakwa Thomas ialah "kawan baik" keada bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.

"(Mereka) yang balik (ke Malaysia), ada syaratnya. Mereka pesti patuh pada perlembagaan dan undang-undang negara. Saya suruh mereka (kumpulan pertama yang pulang) angkat sumpah.

"Saya arahkan pegawai saya hantar mereka balik (selepas enggan angkat sumpah), barulah mereka angkat sumpah. Kerajaan mesti berpegang kepada syarat ini. Kalau mereka langgar undang-undang, polis mesti ambil tindakan.

"Tetapi adakah mereka (yang melanggar perjanjian) akan didakwa? Pendakwaan di tangan AG, dan AG ialah kawan baik Chin Peng," katanya.

Hanif mengetuai pasukan polis pada 1974 hingga 1994, iaitu ketika perjanjian itu dimeterai.

Perjanjian Damai Hat Yai ditandatangani PKM, kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand pada 2 Disember 1989. Ia menamatkan perjuangan bersenjata parti itu selama 21 tahun.