Kesihatan mental dalam kalangan pekerja perlu dititikberatkan oleh majikan supaya produktiviti dapat ditingkatkan serta memberi peluang mewujudkan persekitaran pekerjaan yang positif.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes, berkata, pada masa ini, tekanan kerja dan persaingan adalah lebih tinggi dan pemimpin syarikat perlu memainkan peranan dalam mendepani isu tersebut.
Menurut beliau, masalah mental adalah isu yang tidak disuarakan secara terbuka dan ia menjadi semakin membimbangkan.
“Ayah saya seorang doktor, dia balik rumah pada waktu makan tengah hari, tidur dan pergi kerja.
“Jadi, tekanan kerja telah mengubah secara mendadak dan tekanan untuk berjaya, memberikan banyak tekanan kepada orang muda, bahkan di Asia, kita menjadikan masalah mental sebagai isu besar,” katanya.
Tony berkata demikian pada hari kedua sesi plenari program Kepemimpinan Yayasan Obama: Asia Pasifik 2019 yang bertajuk Keusahawanan: Bekerja dengan Tujuan, pada Rabu.
Tambah Tony, semua syarikat sepatutnya menghebahkan kesedaran mengenai masalah kesihatan mental kepada pekerja mereka.
“Di syarikat kami, kami membenarkan kakitangan kami mempunyai akses (maklumat berkenaan kesihatan mental) dan ia adalah penting untuk semua syarikat memilikinya kerana di AirAsia, kami tidak melihat masalah mental sebagai pantang larang (masalah besar) sekiranya ada kakitangan kami yang menghadapi masalah kesihatan mental,” katanya.