Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan Muafakat Nasional merupakan jawapan terbaik boleh ditawarkan kembali kepada rakyat oleh Umno bagi mengembalikan kegemilangan Malaysia.
"Bermula dengan gerakan penyatuan Ummah yang akhirnya berjaya menyatukan dua parti terbesar mewakili kelompok majoriti Melayu-Islam, Umno dan PAS sehingga termeterainya piagam Muafakat Nasional pada 14 September 2019.
"Kerjasama Umno dan PAS tidak pernah bercita-cita mendirikan kerajaan yang hanya didominasi orang Melayu dan Islam semata-mata.
“Muafakat Nasional juga tidak wajar mengenyampingkan kaum-kaum lain yang telah menjadi sebahagian daripada warga tanahair tercinta," katanya.
Menjelaskan lagi, Asyraf memberitahu bahawa Muafakat Nasional bukannya seperti Pakatan Harapan yang punya empat parti.
"Tidur sahaja sebantal namun hakikatnya mimpi berbeza-beza."
"Kita harus menunjukkan dan membuktikan kepada rakyat, bahawa Umno, PAS, MCA dan MIC bersatu sebagai satu, walaupun dan tanpa mengira kemerosotan dan perpecahan keharmonian kaum dibina oleh PH.
Justeru, katanya Pemuda Umno menggesa agar kepimpinan tertinggi parti dapat segera menginstitusikan Muafakat Nasional bukan sahaja melibatkan Umno-PAS tetapi juga rakan-rakan komponen BN (MCA dan MIC) dan sahabat BN.
"Sudah tiba masanya untuk kita bergerak dari era Perikatan selama 21 tahun (1952-1973), kepada era BN selama hampir 46 tahun (1973-sekarang), dan kini berhijrah kepada Muafakat Nasional," tegasnya," katanya dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Pemuda Umno, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.