Dr M harap WKB2030 jadi pemacu sidang kemuncak Apec 2020

2019-12-04 516

Menjelang 2020, Bogor Goals, yang menggariskan komitmen antara 20 ahli Apec berhubung perdagangan bebas dan pelaburan terbuka, juga akan tamat.

Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak yang akan menentukan matlamat seterusnya.

Bercakap pada pelancaran Apec 2020 di Cyberjaya pagi ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berharap matlamat baru akan menggabungkan unsur-unsur Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

"Wawasan pasca-2020 untuk Apec yang akan kami lancarkan tahun depan akan menggambarkan arah masa depan Apec untuk memastikan keberlangsungannya di bawah pendekatan yang lebih inklusif.

"Ia akan dibina di atas Matlamat Bogor selain nilai tambah dan ciri-ciri usaha Apec dalam tempoh 30 tahun yang lalu serta mengekalkan statusnya sebagai forum ekonomi utama untuk tahun-tahun akan datang.

"Lebih penting lagi, Malaysia ingin melihat konsep kemakmuran bersama yang memacu wawasan dan falsafah untuk setiap kerja yang Apec usahakan, untuk bergerak melangkaui Bogor Goals," katanya dalam ucapannya.

"Pada pandangan saya, sudah tiba masanya rakan ekonomi mempertimbangkan falsafah ini dan mengaplikasikannya dalam model ekonomi semasa.

"Meningkatkan kesejahteraan keseluruhan rakyat kita dan membolehkan setiap warga mempunyai standard hidup yang lebih baik akan menjadikan Apec mampan dan relevan sebagai sebuah kumpulan dalam jangka panjang," kata Mahathir.

Tema sidang kemuncak yang akan berlangsung pada November 2020 ini adalah "‘Mengoptimum Potensi Manusia menuju Masa Hadapan Kemakmuran Bersama".