Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebak ketika mengimbau kembali detik-detik terakhir kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Ismail Petra yang mangkat pada 28 Sept lepas.
Sultan Muhammad turut dilihat menitiskan air mata ketika membaca coretan titah sempena Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan Darulnaim sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-50 hari ini.
Sultan Muhammad bertitah ketika keadaan ayahanda baginda semakin gering yang mengalami kegagalan pernafasan tahap dua, masalah jantung yang tidak stabil atau cardiac arrythmias, baginda serta adinda baginda, berangkat ke Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).
“Hanya doa sahaja yang mampu dipanjatkan kepada Allah SWT mohon yang terbaik buat DYMM Tuanku Sultan Ismail Petra hendaknya. Pasukan doktor yang merawat masih berharap keajaiban dan ihsan dari Yang Maha Esa. Detik yang mendatang begitu meresahkan. Kadar degupan jantung semakin menurun. Allahuakbar," titah baginda menceritakan kembali detik-detik akhir kemangkatan ayahandanya.
Sumber : Kelantan TV