Kerajaan tak terlibat berkenaan harga skim baru - Foodpanda

2019-10-07 628

Disoal mengenai penglibatan kerajaan dalam membuat keputusan berkenaan harga skim baru yang dikenakan, Pengarah Urusan Foodpanda, Sayantan Das menjelaskan bahawa kerajaan tidak terlibat dalam hal itu.

“Keputusan hanya dilakukan dalam kalangan kami sahaja tanpa ada pengaruh daripada kerajaan. Tapi kami mengalu-alukan kerajaan berada dalam keputusan.

“Usaha yang mereka letakkan untuk membuat pasaran kami menjadi lebih baik dan membimbing kami dalam proses membuat keputusan,” katanya.

Bermula 1 hingga 3 Okt lalu, penghantar makanan Foodpanda berpakat mengadakan mogok besar-besaran sebagai bantahan mengenai skim baru yang berkuat kuasa sejak 30 Sept 2019 di sekitar luar Lembah Klang.

Sayantan menjelaskan syarikat itu tidak terjejas dengan mogok itu.

“Mogok itu dijalankan oleh kumpulan yang sangat kecil oleh penghantar kami.

“Kami telah mengkaji dan memahami segmen penghantar, kurang dari satu peratus yang memulakan mogok,” katanya.

Penghantar mendakwa, di bawah skim baru, kadang-kadang mereka terpaksa menunggu dua hingga tiga jam untuk mendapatkan pesanan justeru, pendapatan mereka berkurangan.