Rangkuman video gempa bumi di Pakistan

2019-09-25 1,563

Gempa bumi kuat menggegarkan timur Pakistan tengah hari tadi, mencederakan berpuluh-puluh orang dan memaksa penduduk di beberapa bandar keluar ke jalan-jalan raya untuk menyelamatkan diri, manakala saksi turut mendakwa bahawa sebuah bangunan di wilayah Kashmir diperintah Islamabad runtuh.

Gempa cetek berukuran 5.8 pada skala Richter itu berpusat dekat bandar Mirpur, Kashmir, kira-kira 22 kilometer ke utara Jhelum di wilayah pertanian Punjab, demikian menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat.

Bandar Mirpur dan Britain mempunyai hubungan erat dengan majoriti 450,000 penduduknya memiliki kedua-dua pasport Pakistan dan British.

“Gempa itu berlaku pada kedalaman 10 kilometer dan dirasakan hampir di seluruh Punjab dan beberapa kawasan di wilayah Khyber Pakhtunkhwa.

Kawasan paling teruk terjejas adalah Mirpur dan Azad Kashmir,” kata ketua agensi meteorologi Pakistan, Muhammad Riaz kepada agensi berita AFP.

Ketua Menteri Kashmir Pakistan berkata, sekurang-kurangnya 100 orang cedera dan dirawat di sebuah hospital di Mirpur sambil menambah, tiada laporan kematian setakat ini, manakala usaha bantuan sedang digerakkan.