Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah singgah di restoran Nasi Lemak Royale Kedah di sini pagi ini bagi menikmati santapan pagi.
Video yang dikongsi di Instagram Istana Negara memaparkan baginda memakai suit lengkap bertali leher itu memasuki restoran berkenaan lantas memesan sendiri minuman.
"Apa ada jual?" tanya Tuanku kepada peniaga restoran berkenaan.
Dijawab peniaga itu, "macam-macam ada Tuanku" sebelum bertanyakan air apakah yang diinginkan Tuanku.
Dalam keadaan santai sambil meninjau suasana di dalam restoran, Tuanku kemudiannya bertanyakan jika air teh tarik ada dijual di situ.
Yang di-Pertuan Agong singgah menikmati santapan di restoran Nasi Lemak Royale Kedah Putrajaya selepas selesai majlis Menghadap bersama YAB Timbalan Perdana Menteri di Istana Melawati Putrajaya.
Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr. Aminuddin Bin Hassim turut bersama menikmati santapan.