Muhyiddin Yassin mempertahankan tindakan perdana menteri menggunakan perkataan “paria” ketika menjelaskan tindakan kerajaan mengekalkan kilang nadir bumi Lynas di Kuantan.
Menteri dalam negeri berkata perkataan itu mempunyai maksud berbeza dalam bahasa Inggeris.
“Jika seseorang panggil kamu paria (dalam bahasa Inggeris), ia tidak berkaitan dengan paria bagi masyarakat India…
“Kadang-kadang orang Melayu, bila bercakap dengan orang Melayu yang lain, (juga juga perkataan) paria. Ini persoalan konteks.
“Maksud mengikut konteks penting berbanding percaya perkataan itu (menghina orang India).
“Kerana kamu rasa ia (perkataan) paria ada kaitan dengan orang India, yang sebenarnya tidak betul,” katanya yang juga presiden Bersatu.
Muhyiddin ditanya berkaitan tindakan beberapa anggota PKR Kapar membuat laporan polis terhadap Dr Mahathir Mohamad atas dakwaan penggunaan perkataan paria mengguris perasaan masyarakat India.
Mahathir kelmarin antaranya berkata kerajaan akan berdepan masalah pelaburan jika melayan Lynas seperti paria dan menyuruh mereka keluar dari negara ini.
Katanya, kajian pakar telah pun mengesahkan loji pemprosesan itu tidak berbahaya.
Sementara itu, Muhyiddin juga meminta orang ramai menangani perkara itu dengan rasional dan mendapatkan penjelasan terlebih dahulu.
“Jika kamu nak tahu perkara sebenar tanya perdana menteri apa yang dia cakap,” katanya kepada pemberita di Putrajaya petang ini.