PKR tunggu Anwar balik haji bincang isu Zakir Naik

2019-08-15 896

PKR akan menunggu sehingga presidennya Anwar Ibrahim pulang dari mengerjakan haji sebelum memutuskan pendirian berkaitan kedudukan Dr Zakir Naik.

“Biar dia tunaikan haji dengan aman,” kata setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Katanya pemimpin PKR akan bermesyuarat dengan Anwar terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pendirian.

“Kita akan beri komen bila sampai masa,” katanya yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna.

Zakir yang kini bertaraf pemastautin tetap Malaysia mencetuskan kontroversi baru selepas dilapor mempersoal kesetiaan penganut Hindu kepada perdana menteri dan mencadangkan “tetamu lama” Cina pulang dahulu sebelumnya.

Zakir mendakwa laporan berkaitan kenyataannya berkaitan penganut Hindu dipetik di luar konteks.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kelmarin mengulangi kenyataannya bahawa Dr Zakir tidak akan diusir dari Malaysia.

Bagaimanapun, Mahathir berkata Malaysia mengalu-alukan jika ada mana-mana negara lain yang sanggup menerima penceramah itu.