'Bila siasatan siap, saya akan hantar ke AG'

2019-07-23 2

Siasatan terhadap kes video seks dikaitkan dengan Azmin Ali kini beralih ke arah mencari dalangnya.

Justeru itu muncul spekulasi seorang pemimpin kanan sebuah parti politik akan dipanggil untuk siasatan.

Ditanya pemberita dalam sebuah acara di Kuala Lumpur hari ini, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador enggan memberikan jawapan pasti.

Beliau sekali lagi mengulangi kenyataannya bahawa pihak polis mempunyai banyak lagi kerja untuk dibuat dan tidak patut dibebankan dan diheret sama dalam isu itu.

“Seperti saya cakap sebelum ini, berkhidmat - ini yang saya mahu tingkatkan.

“Jangan heret dan bebankan saya dengan semua ini. Bila saya kita siasatan sedang berjalan, terimalah. Ia sedang berjalan.

“Bila (siasatan) siap akan akan hantar pada peguam negara,” katanya.

Hamid telah mendedahkan penglibatan pemimpin itu yang tidak dinamakan sebelum ini.

Beliau juga berkata terdapat komplot jahat melibatkan wang ratusan ribu ringgit di sebalik kontroversi itu.

Berkaitan video itu pula, Hamid berkata kebarangkalian ia tulen adalah tinggi tetapi wajah pelaku dalam video seks sejenis itu tidak dapat dicam.

Selepas video itu beredar, timbul spekulasi yang mengaitkannya dengan pergolakan dalaman PKR, terutamanya berkaitan calon perdana menteri selepas Dr Mahathir Mohamad.

Terdapat dakwaan Azmin adalah calon pilihan Mahathir walaupun terdapat perjanjian ia akan diserahkan pada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR percaya serangan padanya melalui video itu dibuat melalui orang dalam. Beliau mengaku tahu dalangnya tetapi enggan mendedahkannya.

Semalam, Menteri Besar Selangor Azmin Ali, pemimpin dari kem Azmin, memberi pembayang ia “dilakukan oleh mereka yang pernah melalui detik sejarah hitam ini”.

Bekas pemimpin PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku sebagai pelaku dalam video itu tetapi Azmin menafikannya.

Anwar, yang dua kali dituduh terlibat dalam kes liwat, menafikan terlibat dalam video seks itu.