Maria Chin ulas 27 pemimpin PKR tempelak Anwar

2019-07-18 12,447

Dua puluh tiga pemimpin kanan PKR bersama 14 anggota parlimen mendesak Anwar Ibrahim - yang juga presiden mereka - supaya berhenti mengeluarkan kenyataan yang memecah-belahkan parti.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan pagi ini, mereka berkata sebagai presiden Anwar perlu segera menggembleng perpaduan anggota parti demi keutuhan PKR, PH dan negara.

Pada masa sama, mereka menegaskan untuk bersama dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, yang kini dikaitkan dengan klip video seks melibatkan hubungan asmara sejenis.

Azmin menafikan beliau terlibat dalam insiden tersebut.

"Maka, kami ingin menegaskan bahawa PKR wajib berdiri teguh dan konsisten menentang politik kotor yang digunakan dalam komplot untuk menjatuhkan timbalan presiden.

"Kami akan bersama Azmin dan mana-mana pimpinan lain sekiranya mereka diserang dengan cara yang tidak bermoral seperti ini," kata kenyataan tersebut.

Ia dikeluarkan bersama dengan didahului empat naib presiden PKR, iaitu Zuraida Kamaruddin, A Xavier Jayakumar, Tian Chua dan Ali Biju.

Bersama mereka ialah 19 anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR serta Anggota Parlimen Tebrau, Steven Choong, Jonathan Yasin (Ranau), Willy Mongin (Puncak Borneo) dan Maria Chin Abdullah (MP Petaling).

Pertembungan di antara kem Anwar dan Azmin menunjukkan pertentangan terbuka sejak beberapa hari lalu.

Terbaru kenyataan dibuat Anwar - yang juga anggota parlimen Port Dickson - yang berpendapat Azmin perlu meletakkan jawatan jika terbukti video klip memaparkan hubungan sejenis itu tulen.

Ia tidak Azmin dan penyokongnya. Tanpa banyak menunggu lebih lama Azmin berkata Anwar wajar bermusahabah serta mencermin diri sendiri.

Kata kenyataan dikeluarkan hari ini, pandangan dibuat Anwar semalam tidak berasas kerana dia dibuat berdasarkan spekulasi semata-mata.

"Presiden sewajarnya memberikan kepimpinan yang jelas terhadap persoalan utama untuk membanteras komplot politik jahat bagi menjatuhkan Azmin.

Kata mereka, Anwar juga perlu memberikan fokus kepada perlakuan pakatan yang secara terancang menularkan video seks tersebut yang dianggap sebagai jijik dan berniat jahat.

"Kami hairan kerana ketika video fitnah itu ditularkan (sebelum ini), beliau (Anwar) mengeluarkan pandangan yang berbeza dengan mengatakan bahawa Azmin tidak perlu melepaskan jawatannya.

"Justeru berdasarkan penafian tegas Azmin berkaitan hal ini, presiden sewajarnya mempertahankan timbalan presiden demi memelihara muafakat utuh PKR dan tidak sama sekali cuba menggasir (menggali lubang) kedudukan timbalan presiden dalam kerajaan tanpa sebarang asas yang kukuh," katanya.