Dalang video seks dikaitkan dengan seorang menteri dikenal pasti

2019-07-14 2

Dalang di sebalik pembikinan dan penyebaran video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri telah dikenal pasti, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut berkenaan dalang itu, beliau berkata pihaknya telah mempunyai ‘bayangan’ dalang yang terlibat kes itu, dan telah membuat beberapa tangkapan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Abdul Hamid tidak menolak kemungkinan bahawa ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam kes itu.

“Siasatan kes ini tertumpu kepada dua siasatan, iaitu kami menyiasat mereka yang terlibat dalam pembikinan video itu, dan mereka yang menyebarkan video berkenaan.

“Dalam kes ini, kami kesan terdapat wujud konspirasi dan pakatan pihak tertentu dalam pembikinan dan penyebaran video seks yang dikaitkan seorang menteri, untuk menjatuhkan seseorang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Malam Semarak Kasih Perumahan Blok Melati Polis Diraja Malaysia di Setiawangsa pada Sabtu.

Abdul Hamid berkata sebaik siasatan untuk mengaitkan dalang berkenaan selesai, pihaknya akan melakukan tindakan menahan semua yang terlibat.

Beliau berkata ketika ini pihaknya telah mengambil keterangan daripada saksi berkaitan, serta melakukan tangkapan ke atas mereka yang disyaki menyebarkan video berkenaan.

“Mereka yang terlibat dalam menyebarkan (menularkan) video seks sejenis berkenaan juga akan diambil tindakan. Kita sedang mencari siapa yang salah guna laman sosial untuk sebarkan video itu menerusi telefon-telefon bimbit yang dikesan,” katanya.

Datuk Seri Abdul Hamid Bador (dua, kiri) ketika melawat hiasan landskap rumah pada Majlis Rumah Terbuka Semarak Kasih Melati 2019 di Perumahan Blok Melati PDRM hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan terdapat klip video seks membabitkan dua lelaki, tular dalam media sosial dan pada 12 Jun, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku dirinya seorang daripada lelaki dalam video itu.