'Populariti Najib atasi Nik Aziz'

2019-07-10 1

Di mata Nik Abduh Nik Abdul Aziz, ada dua orang tokoh paling hebat di negara ini.

Pertama, kata anggota parlimen Bachok itu, almarhum bapanya yang juga bekas menteri besar Kelantan serta pernah diangkat sebagai mursyidul am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kedua, kata Nik Abduh, ialah Najib Razak. Malah Nik Abduh menganggap bekas perdana menteri dan presiden Umno itu "mengambil tempat" yang ditinggalkan bapanya selepas pemimpin terbabit meninggal dunia.

"Mana dia pergi, kalah ayah saya... orang dok berebut dok cari dia nak selfie. (Ini) kepelikan yang Allah Taala buat," katanya dalam ucapan yang dimuat naik dalam perkongsian Facebook Najib hari ini.

Ucapan itu dibuat pada majlis Ceramah Perpaduan Ummah anjuran Umno dan PAS Ayer Hitam. Turut hadir, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Kata Nik Abduh kata-kata itu diungkapkannya ketika berbual dan bergurau dengan beberapa anggota PAS.

Mengenang peristiwa lalu, Nik Abduh berkata semasa Nik Abdul Aziz hidup, ke mana saja bapanya pergi orang ramai - kecuali orang Umno - berebut-rebut untuk bergambar.

Malah katanya sambutan diterima Nik Abdul Aziz mengalahkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Nik Abduh juga mengagumi bagaimana anggota parlimen Pekan itu mampu "bangkit" daripada kekecewaan apabila gagal mengemudi BN mendapat mandat sekali lagi pada pilihan raya umum (PRU) tahun lalu.

Kata Nik Abduh, beliau berkunjung ke rumah Najib pada bulan puasa selepas PRU ke-14 lalu untuk bertanya khabar.

Dalam pertemuan itu kata Nik Abduh, Najib berikrar untuk "bangkit" daripada kekalahan yang menimpanya. Justeru beliau memberikan kata perangsang kepada Najib.

"Saya sebut, saya kata: Datuk Seri, saya doakan Dato Seri bangkit, kerana dalam agama, walaupun orang itu bersalah, kalau mahu bangkit, Allah Taala akan memberkati kebangkitannya.

"Apatah lagi kalau dia tak bersalah, lagi-lagilah Allah Taala memberkati," katanya.

Menurut Nik Abduh lagi, beliau tidak pernah menyangka Najib mampu "bangkit" semula tidak sampai setahun selepas kalah, dan ramai orang memanggil bekas perdana menteri itu sebagai "Bossku".

"Eh, mahal jadi bosku daripada jadi PM (perdana menteri)," katanya.