Isu kartel dedak: Menantu Hadi belum dipanggil

2019-07-04 231

Kira-kira tujuh minggu selepas diumumkan untuk mengadap Jawatankuasa Disiplin PAS, menantu Presiden PAS, Zaharudin Muhammad, disahkan belum dipanggil bertemu badan tersebut.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan hari ini berkata setakat ini langkah parti itu menangani isu "kartel dedak" masih di peringkat jawatankuasa.

Katanya jawatankuasa berkenaan sedang mendengar dan membuat penilaian mengenai isu berkenaan sebelum membuat keputusan selanjutnya.

"Dia akan dipanggil dalam masa terdekat,” katanya kepada Malaysiakini.

Kira-kira dua bulan lalu, Zaharudin mencuri perhatian ramai apabila bersuara mengenai dana yang diterima pemimpin tertentu dalam PAS daripada Umno.

Menggelarkan kumpulan itu sebagai "kartel dedak" Yang Dipertua PAS Sungai Buloh itu memberi bayangan beberapa nama yang terbabit dengan gelaran atau simbolik tertentu.

Mereka dirujuk Zaharudin sebagai Dr Hussam II, Mr NT, Mr KT, Mr KH dan individu yang kelima sebagai “semua dah tahu.”

Bagaimanapun sebahagian daripada mereka dipercayai merujuk kepada Anggota Parlimen Bacok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz; dan Anggota Parlimen Kuala Nerus, Dr Khairuddin Aman Razali.

Ekoran pertikaian terbuka itu PAS kemudian mengeluarkan arahan melarang semua anggotanya daripada membawa dan membincangkan sebarang isu berkaitan urusan parti di media dan media sosial.

Arahan itu disampaikan setiausaha agungnya Takiyiddn Hassan yang turut mengingatkan anggota parti itu agar menyampaikan pandangan dan kritikan melalui saluran parti.

Semasa ditemui di Sungai Buloh Sabtu lalu, Zaharudin ditanya mengenai perkembangan siasatan tersebut namun beliau enggan memberi komen sebaliknya mengunci mulut atas alasan mematuhi arahan parti.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, PAS menubuhkan jawatankuasa siasatan berhubung perkara tersebut bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Katanya dapatan jawatankuasa siasatan itu akan dibawa ke pengetahuan Jawatankuasa Disiplin untuk dibuat penilaian.

"Sekarang ia diperingkat jawatankuasa siasatan,” katanya.

Free Traffic Exchange