Bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein mempertikaikan kewajaran pengisytiharan harta yang mewajibkan anggota parlimen mengisytiharkan harta masing-masing.
Katanya, tindakan itu dilihat tidak masuk akal memandangkan pembangkang tidak berada pada platform yang boleh mempengaruhi mana-mana pihak.
Beliau berkata demikian di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, Dewan Rakyat meluluskan usul untuk mewajibkan anggota parlimen mengisytiharkan harta masing-masing selepas tiada bantahan dibuat semasa undian.
Rang undang-undang itu diterima walaupun pada sebelumnya pembangkang bangkit berbahas untuk menolaknya. Antara lain mereka mendakwa usul itu tidak selari dengan peraturan dewan.