Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan kerajaan akan membentangkan usul di Parlimen mewajibkan semua Anggota Parlimen mengisytiharkan pendapatan dan aset kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam jawapan ringkas kepada media, Perdana Menteri, bagaimanapun, tidak memaklumkan bila usul berkenaan akan dibentangkan di Parlimen.
“Usul itu kita akan bawa, sama ada lulus atau tidak itu soal lain lah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Marvel Studios: 10 Tahun Adi Wira di Kuala Lumpur pada Khamis.
Dewan Rakyat akan mula bersidang Isnin ini sehingga 18 Julai bagi Mesyuarat Kedua, Penggal ke-2, Parlimen ke-14.
Iklan
Dr Mahathir berkata sepatutnya kesemua Anggota Parlimen perlu mengisytihar harta kerana masing-masing mempunyai pengaruh.
“Parti pembangkang pun ada pengaruh, jadi kita tidak harus guna pengaruh kita untuk dapatkan ‘bayaran,” katanya.
Ketika ini, pengisytiharan harta oleh Anggota Parlimen kerajaan dan anggota pentadbiran hanya dilakukan secara sukarela yang kemudiannya dipaparkan kepada umum menerusi portal SPRM.
Berdasar portal berkenaan, sehingga kini 124 Anggota Parlimen dan 79 anggota pentadbiran kerajaan (termasuk menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik) telah mengisytiharkan harta. - Bernama