Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 16 Ogos depan untuk perbicaraan kes saman fitnah difailkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) P. Waytha Moorthy terhadap Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin Hamzah.
Saman fitnah itu adalah berhubung ucapan Azwanddin dalam satu perhimpunan anjuran Gerakan Rakyat Malaysia (GERAS) di Dataran Seni Klang, Disember tahun lepas.
Peguam Annou Xavier, yang mewakili Waytha Moorthy memberitahu pemberita bahawa tarikh berkenaan ditetapkan Pesuruhjaya Kehakiman Rohani Ismail di dalam kamarnya ketika pengurusan kes itu yang turut dihadiri peguam Sarah Abishegam bertindak bagi pihak Azwanddin.
"Kesemua dokumen berkaitan dengan perbicaraan telah lengkap dan kemungkinan Waytha Moorthy akan memberi keterangan pada hari berkenaan," katanya.
Pada 13 Feb lepas, Waytha Moorthy, 53, selaku plaintif memfailkan saman itu selepas mendakwa Azwanddin, 46, yang dinamakan sebagai defendan telah mengeluarkan perkataan fitnah terhadapnya ketika berucap dalam satu perhimpunan anjuran Geras pada 25 Dis 2018.
Dalam penyataan tuntutan, plaintif mendakwa defendan juga telah menyebabkan ucapan dan perkataan fitnah itu diterbitkan semula di pelbagai media cetak, portal berita dan laman web selain mendakwa ucapan berkenaan yang dimuat naik ke laman Facebook defendan telah mendapat 187,912 paparan, 4,705 like, 943 kongsian dan 362 komen setakat 8 Feb 2019.
Dakwanya, ucapan itu adalah tidak benar dan berniat jahat selain mendakwa ia memberi kesan terhadap reputasinya sebagai senator dan sebagai Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial.
Oleh itu, plaintif memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripada mengucapkan atau menerbitkan ucapan memfitnah tersebut di dalam mana-mana media, secara bercetak, atas talian atau sebaliknya serta memohon ganti rugi am, teladan, terlampau, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Azwanddin dalam penyataan pembelaan yang difailkan pada April lepas, menafikan secara keseluruhan pernyataan tuntutan plaintif kerana kenyataan defendan tidak melibatkan plaintif secara eksklusif tetapi untuk menangani isu-isu politik yang lebih luas.
Defendan juga mendakwa perkataan yang didakwa fitnah yang diucapkannya dalam perhimpunan itu adalah kerana beliau dihasut oleh hadirin lebih daripada sekali dan beliau menyatakan apa yang telah didengar daripada mereka.
Azwanddin berkata beliau tidak mempunyai sebarang niat jahat terhadap plaintif seperti didakwa plaintif dalam pernyataan tuntutannya sebaliknya ia diucapkan untuk mengkhabarkan ketidakadilan dalam kematian seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim. - Bernama