Selain 'Datuk Seri', ramai lagi akan dipanggil SPRM

2019-05-21 2,580

Lebih ramai orang akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melengkapkan siasatan berhubung pembekalan peralatan kereta kebal kepada kerajaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, memberitahu pada waktu ini siasatan kes tersebut masih di peringkat awal.

Justeru katanya SPRM menjangkakan akan ada lebih ramai saksi dipanggil bagi membantu siasatan kes tersebut.

"Saya pun tak dapat nak berikan jumlah sebenar (saksi yang akan dipanggil) tetapi kami sedang menjalankan siasatan secara agresif," katanya.

Azam berkata demikian semasa ditemui media di Akademi SPRM di Kuala Lumpur hari ini.

Pada 13 Mei lalu Malaysiakini melaporkan dua eksekutif syarikat ditahan reman oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan dana sebanyak RM17 juta.

Mereka yang ditahan itu masing-masing seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) berusia 53 tahun dan ketua pegawai kewangan berusia 45 tahun.

CEO terbabit juga seorang Datuk.

DRB-Hicom Bhd kemudian mengesahkan SPRM salah satu anak syarikatnya sedang disiasat SPRM, iaitu Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech).

Kes tersebut dikaitkan dengan pembekalan peralatan untuk kereta perisai tempur Deftech AV8 Gempita dan ACV-300 Adnan untuk sebuah agensi pertahanan di antara 2014 dan 2017.

Semalam seorang Datuk Seri berusia 39 tahun yang juga pemilik syarikat turut ditahan reman bagi membantu siasatan kes tersebut.

Free Traffic Exchange