Isu MP DAP beri ceramah di masjid, Sultan Johor murka

2019-05-16 10

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka terhadap Ahli Parlimen Labis Pang Hok Liong yang didakwa memberikan ucapannya di dalam Masjid Tenang Stesyen, Labis di Johor pada 10 Mei lalu.
Tindakan ahli parlimen itu telah mendatangkan rasa kurang senang, kecewa yang amat mendalam dan menimbulkan bantahan umat Islam di Johor.

Baginda menggariskan 5 faktor iaitu:

- pencabulan serius terhadap kesucian masjid dan sekaligus menggugat kedudukan Islam sebagai agama Negeri Johor.
- Pelanggaran sempadan yang telah baginda gariskan sebelum ini apatah lagi larangan ini baharu sahaja ditegaskan semula melalui Pekeliling Majlis Agama Islam Negeri Johor.
- Wujudnya pemimpin politik yang tidak sensitif terhadap undang-undang, peraturan dan pekeliling yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor
- Perbuatan Ahli Parlimen tersebut dan mereka yang bertanggungjawab menganjurkannya telah mengguris perasaan umat Islam terutama di dalam bulan Ramadan
- Pelanggaran dan pencabulan tersebut adalah satu tindakan biadap dan tidak beretika oleh pihak-pihak tertentu dan yang ada berkepentingan serta tidak boleh diterima sama sekali.

Justeru, baginda menegaskan masjid dan surau hendaklah tidak dibenarkan dan dihalang sama sekali dari sebarang aktiviti ahli-ahli politik kepartian kerana banyak aktiviti anjuran individu yang mewakili parti politik seringkali diwarnai dengan adu domba, kata mengata, fitnah dan medan untuk meraih simpati masyarakat untuk menaikkan populariti mereka bagi meraih sokongan sedangkan dalam waktu yang sama musuh-musuh politik dan yang tidak sehaluan dengan mereka menjadi jemaah dalam masjid tersebut dan boleh mewujudkan rasa tidak selesa di kalangan masyarakat.