PM adil nilai kabinet dengan markah 5 dari 10 - Maszlee

2019-05-07 91

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menyifatkan penilaian markah prestasi sebanyak 50 peratus yang diberikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad terhadap ahli kabinetnya sebagai satu “penilaian yang agak adil.”

Maszlee berkata, Dr Mahathir selaku seorang pemimpin yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran negara lebih arif dalam menilai pencapaian pemimpin PH.

“Sebagai perdana menteri yang mempunyai pengalaman lama dalam pentadbiran, saya kira perdana menteri lebih tahu tentang apa yang beliau (nilaikan dengan) memberikan markah kepada mana-mana pihak, terutamanya apabila ia berkaitan dengan pentadbiran negara.

“Dan pencapaian yang sedemikian bagi setahun yang pertama, saya kira penilaian yang agak adil daripada seorang yang mempunyai pengalaman yang begitu panjang dalam pemerintahan,” katanya dalam satu sidang media selepas berucap pada suatu majlis di Kementerian Pendidikan, Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kenyataan pemimpin berusia 94 tahun itu yang memberikan penilaian lima markah daripada sepuluh kepada ahli kabinetnya semalam.