Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tidak ada masalah dengan fenomena ‘Bossku’ yang dicetuskan oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Ketika ini, sambil dirinya dipalit skandal dan pelbagai pertuduhan pecah amanah, Najib berusaha untuk turun padang bertemu rakyat membawa jenama ‘Bossku’ itu dalam usaha memulihkan imejnya.
Kata Khairy, Najib berhak untuk mempertahankan dirinya tetapi tidak harus terlalu berusaha untuk menegakkan benang yang basah.
“Pandangan peribadi saya, kita mesti ada kompas moral. Saya harap kalau ada usaha untuk mempertahankan diri sebagai individu, itu tidak melibatkan UMNO secara rasmi.
“Kalau orang UMNO nak pergi (acara turun padang ‘Bossku’) tak apa, tetapi jangan sekali-kali kaitkan dengan UMNO,” tegas beliau semasa sesi Bicara Minda Sinar Harian di sini hari ini.