Ketersambungan internet bakal jadi syarat kemudahan utiliti

2019-04-25 5

Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam proses mencadangkan supaya ketersambungan Internet (Internet connectivity) disenaraikan sebagai kemudahan utiliti seperti mana bekalan air dan elektrik.

Menterinya Gobind Singh Deo berkata cadangan itu antara usaha untuk memperluas akses ketersambungan jalur lebar di seluruh negara.

“Saya dalam proses mencadangkan kepada kerajaan, supaya kita boleh mewujudkan satu polisi bahawa ‘Internet connectivity’ sebagai satu utiliti, bermaksud kita beri penekanan sama rata seperti air dan elektrik sekiranya kita berjaya bawa polisi sedemikian.

“Kita kena terima hakikat, semua dunia akan maju dengan bantuan Internet, kerana itu kerajaan ambil langkah aktif dan proaktif dalam memastikan Internet dibekalkan pada semua rakyat Malaysia, tidak kira di mana-mana, kena ada akses kepada Internet.

“Jadi di masa depan, kita tidak perlu lihat pembinaan ini ada masalah ‘connectivity’, kena jumpa kontraktor telco tarik fiber yang makan masa dan kos tinggi...jadi kita ingin atasi masalah ini yang mana ini salah satu pencapaian dalam kementerian saya. Kita faham dan kita terima pentingnya connectivity ini,” katanya dalam temu bual khas sempena setahun pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan di pejabatnya di Wisma Angkasapuri hari ini.

Menurut Gobind, cadangan itu juga telah dibincangkan dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Zuraida Kamaruddin), dan mana terdapat cadangan keperluan untuk memastikan semua bangunan dalam projek pembangunan baru, sama ada kediaman atau pejabat, dilengkapi dengan kemudahan (sambungan) Internet.