KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang melakukan kajian seandainya ada keperluan untuk menggubal sebuah ‘Akta Pembaziran Makanan’ terhadap pelanggan yang melakukan kesalahan tersebut pada masa hadapan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan langkah untuk mengenakan ‘denda’ ke atas pelanggan di hotel serta restoran yang membazirkan makanan mereka.
“Kita sedang lakukan kajian dengan teliti keperluan menggubal akta ini dari pelbagai sudut sebelum proses pelaksanaan.
“Antara yang kita boleh lakukan termasuk hukuman denda kepada mereka yang bazirkan makanan yang dibeli oleh mereka di hotel serta restoran dengan berlebihan kemudian bazirkan begitu sahaja.
“Ini adalah antara inisiatif kita, sekiranya pembaziran dapat dikurangkan ini pasti secara langsung membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat pada masa hadapan,” katanya dalam ucapan pada majlis penutup Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang dekat sini hari ini.
MalaysiaGazette.com - Online News / Portal - Follow US Now! Or visit www.malaysiagazette.com for the latest news on politics, economy, fashion, travel, lifestyle and more www.malaysiagazette.com
#malaysiagazette #mgtv