Pulau Pinang bakal ada LRT

2019-04-17 255

Cadangan projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) Komtar-Bayan Lepas, yang merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai berbilion ringgit, dijangka akan bermula pada tahun hadapan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, projek tersebut kini sedang menunggu kelulusan bersyarat daripada Kementerian Pengangkutan, yang akan diperolehi tidak lama lagi.

Satu pasukan dari Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah melawat Pulau Pinang kira-kira dua minggu lepas untuk melihat cadangan jajaran rel dan kesesuaian lokasi stesen LRT yang dicadangkan.

"Berdasarkan kepada cadangan dan komen mereka, pasukan kami (kerajaan negeri) akan membuat pindaan dan penambahbaikan untuk APAD bagi membolehkan mereka memberi nasihat kepada Menteri Pengangkutan.

"Dengan itu, kami (kemudiannya) akan dapat menyesuaikan penjajaran, lokasi stesen dan pakej pinjaman," katanya kepada Bernama ketika mengadakan lawatan ke Wisma Bernama hari ini.

Bermula sebagai sebuah projek yang digagaskan oleh negeri itu, PTMP dijangka akan menelan belanja sebanyak lebih kurang RM46 bilion.