Perbicaraan Najib Razak dan Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy mengenai dakwaan mereka "meminda" laporan audit syarikat itu akan bermula Nov ini dan Januari tahun depan.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini telah menetapkan perbicaraan bersama itu akan bermula dari 18 Nov hingga 29 Nov sebelum disambung pada 13 Jan hingga 17 Jan 2020.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu pagi ini selepas kedua-dua peguam tertuduh bersetuju untuk mengadakan perbicaraan bersama.
N Sivananthan bertindak sebagai penguam bela Arul Kanda manakala Najib diwakili oleh Muhammad Shafee Abdullah.
Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusof memberitahu mahkamah pihaknya akan memanggil antara 25 hingga 30 saksi sepanjang tempoh perbicaraan.
Mohamed Zaini menetapkan pengurusan bagi kes itu dibuat pada 29 Ogos.
Selepas ketetapan tarikh dibuat, Arul Kanda dan Najib pergi ke mahkamah lain dalam kawasan sama bagi menghadiri perbicaraan membabitkan tuduhan salah guna kuasa dan pecah amanah anggota parlimen Pekan itu.