Akaun bapa dibeku, Jho Low 'bersuara'

2019-04-03 21

Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau juga dikenali sebagai Jho Low mendakwa langkah kerajaan membekukan akaun bank bapanya adalah bukti bahawa dia sendiri tidak akan dibicarakan secara adil di Malaysia.

Dalam satu kenyataan menerusi jurucakapnya yang dikeluarkan oleh pasukan peguamnya hari ini, Jho Low, yang dipercayai tinggal di China sekarang, secara konsisten menegaskan beliau tidak akan menerima "perbicaraan yang adil" di Malaysia.

Dilaporkan semalam kerajaan telah memfailkan tindakan pelucutan hak sivil untuk membekukan tujuh akaun bank kepunyaan bapa Jho Low, Larry Low Hock Peng, yang dikatakan bernilai RM48 juta.

Wang yang cuba dibekukan oleh kerajaan dan didapatkan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Anti-Keganasan dan Perolehan Akta Kegiatan Undang-undang 2001 itu dipercayai dari 1MDB.

Langkah kerajaan itu menurut jurucakap Jho Low, ia menunjukkan "strategi gigih gangguan dan penganiayaan politik terhadap pihak lawan" pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan apa jua cara yang diperlukan.

Jho Low berkata demikian selepas selepas polis merampas "rumah mewah" keluarganya di Pulau Pinang awal minggu ini.

Hartawan yang dikehendaki polis itu juga sebelum ini mengutuk notis penyitaan rumah tersebut, menggelarnya cubaan Mahathir untuk memperolehi keuntungan politik.

Dilaporkan pada bulan Januari bahawa polis juga sedang mencari Hock Peng dan isterinya Goh Gaik Ewe.

Pada bulan Ogos tahun lepas, Jho Low dan Hock Peng didakwa tanpa kehadiran di Mahkamah Sesyen Putrajaya berhubung dengan penyalahgunaan wang 1MDB, yang mana Jho Low dikenakan lapan tuduhan pengubahan wang haram manakala bapanya menghadapi satu pertuduhan.