Hari Polis ke-212 hari ini disambut penuh bangga oleh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan perbarisan, bacaan ikrar dan nyanyian lagu ‘Sang Saka Biru’ di semua Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri dan daerah di seluruh negara.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang hadir pada sambutan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak di sini memeriksa perbarisan oleh 29 pegawai dan 932 anggota PDRM dengan diiringi Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Dr Mahathir turut menyampaikan amanat yang antara lain memberi komitmen bahawa kerajaan akan tetap menyalurkan segala peruntukan diperlukan PDRM walaupun ia melibatkan kos tambahan.
Turut terlibat dengan perbarisan Hari Polis ke-212 yang mengekalkan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ itu ialah 98 aset PDRM daripada pelbagai jabatan antaranya Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Unit Tindakan Khas (UTK) dan Pasukan Polis Marin.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Peguam Negara Tommy Thomas.