Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu senarai nama syarikat yang dikatakan tidak layak memperoleh Permit Import (AP) untuk mengimport kereta."Bolehkah kamu beri saya nama itu? Kita akan melihatnya," kata Mahathir pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.Portal DS & F (Drive Safe and Fast) memetik pemegang AP sedia ada yang tidak disebut namanya sebagai berkata bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah meluluskan 38 pemegang permit baru. Mereka kemudian menyemak semula angka tersebut kepada 36 orang.Mereka mendakwa penerima AP baru berkenaan cuba menjual permit mereka kepada syarikat yang lebih stabil.Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengesahkan bahawa 36 permit baru itu dikeluarkan tahun ini.Ia juga menyatakan sebahagian besar syarikat baru ini tidak "beroperasi sepenuhnya", walaupun ada syarat yang memerlukan pemohon AP memiliki pengalaman minimum 2 tahun dalam menjual dan mengedar kenderaan bermotor.Mahathir sebelum ini pernah mengkritik pemberian AP pada tahun 2005 melibatkan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Rafidah Aziz.Mahathir berkata AP hanya memperkayakan beberapa individu dan meletakkan kereta tempatan pada tahap yang tidak disenangi.Beliau mempertahankan kritikannya hari ini."Saya rasa ada keperluan untuk pengawasan yang betul berkaitan AP."Apa yang berlaku ialah selepas saya meletak jawatan (sebagai perdana menteri pada tahun 2003), AP diberikan kepada semua orang."Hasilnya sesetengah orang menjadi sangat kaya tetapi saya fikir AP adalah cara untuk orang yang tidak berada dalam perniagaan automotif untuk masuk ke dalam perniagaan dengan mudah," katanya.