Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih merekodkan kesalahan pilihan raya tertinggi dalam semua enam PRK yang dijalankan sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Hal itu didedahkan gabungan pemantau pilihan raya Bersih 2.0 dalam satu sidang media hari ini, berdasarkan Laporan Pemerhatian Pilihan Raya Kecil N24 Semenyih.
Menurut Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann, kesalahan paling tinggi dilakukan oleh Pakatan Harapan sebanyak 21 kes dan Barisan Nasional (13 kes) manakala satu lagi kes dilakukan oleh pihak yang tidak dikenali.
Beliau berkata kepada pemberita di pejabat Bersih di Petaling Jaya hari ini.
Kata Thomas, biarpun pesalah yang melanggar undang-undang pilihan raya boleh dikenakan tindakan denda dan penjara, tidak banyak kes seumpama itu dihadapkan ke mahkamah.
Daripada 35 kesalahan yang direkod oleh laporan pemerhatian tersebut, lapan melibatkan pengaruh tidak wajar (oleh PH), lima melibatkan pemberian hadiah atau penjamuan makanan (oleh PH), dua kes keganasan, intimidasi dan gangguan (satu oleh PH dan satu oleh BN).
Manakala tiga kes direkodkan untuk kesalahan penggunaan kaum dan agama dalam kempen (kesemuanya oleh BN), dan 17 masalah yang timbul pasa hari mengundi termasuk masalah ‘pondok panas’ (lapan oleh PH, dan sembilan oleh BN).
Kedua-dua calon lain yang bertanding iaitu Parti Sosialis Malaysia dan calon bebas Kuan Chee Heng didapati tidak melakukan apa-apa kesalahan pilihan raya.