Pemuda maut digilis treler

2019-02-27 1

Seorang pemuda maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah lori treler lalu digilis di Jalan Tetembok, Pulau Pinang, pagi tadi.

Mangsa Mohammad Akif Aiman Abdul Malek, 20, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan dalam kejadian jam 7 pagi itu.

Memetik Sinar Online, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15 dikatakan gagal mengawal motosikal lalu terbabas ke laluan bertentangan.

Akibat kejadian itu, mangsa merempuh bahagian depan treler yang membawa muatan besi kokrit sebelum digilis.

Che Zaimani berkata siasatan lanjut mengenai punca kejadian berkenaan masih lagi dalam siasatan dan sedang mengesan saksi bebas yang melihat kejadian berkenaan selain akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.