Tiada kemasukan RM90j dari 1MDB ke akaun rasmi PAS - Sumber SPRM

2019-02-12 3,845

Sumber memaklumkan bahawa pihak berkuasa mendapati tiada dana dari 1MDB disalurkan ke akaun bank PAS.

Memetik Malaysiakini, penemuan itu dibuat selepas penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti akaun bank PAS dalam siasatan ke atas dakwaan yang mengatakan pemimpin parti itu menerima RM90 juta daripada Umno.

Sumber juga mengesahkan bahawa akaun yang diteliti adalah akaun yang didaftar di bawah nama parti dan bukannya akaun peribadi pemimpin PAS.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada SPRM sudah selesai meneliti akaun peribadi pemimpin PAS yang dikaitkan dalam siasatan yang dilancarkan suruhanjaya itu enam hari lalu.

Cubaan untuk mendapatkan ulasan dan perkembangan terbaru berhubung kes itu dari pegawai atasan SPRM turut tidak berhasil.

Difahamkan, pegawai SPRM bersifat lebih tertutup berhubung siasatan berkenaan selepas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Shukri Abdull berkata beliau tidak mahu sebarang spekulasi berhubung kes itu.

Rabu lalu, SPRM dalam kenyataan medianya mengesahkan memulakan siasatan ke atas dakwaan penyaluran dana berkenaan selepas menerima laporan.

Laporan yang dibuat oleh orang awam menurut SPRM dibuat selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersetuju untuk membuat penyelesaian luar mahkamah berhubung kes saman fitnah ke atas Sarawak Report.

Saman berkenaan berhubung laporan portal Sarawak Report pada 2016 yang mendakwa PAS menerima dana RM90 juta daripada Umno sebagai balasan kepada sokongan yang diberikan kepada parti berkenaan.

Turut didakwa ialah dana berkenaan kemungkinan datang dari 1MDB.

Sejak siasatan bermula, SPRM dilaporkan telah merakam keterangan daripada beberapa pemimpin PAS termasuk Anggota Jawatankuasa Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas pengerusi Bersih, S Ambiga.